CPO/MSM Dicuri  

Posted by: Kempit

Kilang Kelapa Sawit (KKS), Kilang Penapis dan syarikat pengangkutan yang mengangkut dan mengalih minyak sawit mentah dan minyak sawit bertapis diminta bekerjasama dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan polis bagi menangani kegiatan sedut curi minyak sawit yang berlaku pada masa ini. Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Mohd Basri Wahid, berkata industri dianggar kerugian RM325 juta pada 2007 akibat kegiatan haram itu yang sebahagian besarnya berlaku di Selangor, Johor dan Sabah. “Pengilang dan syarikat pengangkutan perlu menitik beratkan kepada keselamatan dan bertanggungjawab memastikan minyak sawit yang diangkut dan dialih daripada KKS ke kilang penapis dan lain destinasi itu selamat sampai tanpa membabitkan kegiatan haram itu.
“MPOB memandang serius kegiatan sedut curi ini dan akan mempertingkatkan penguatkuasaan melalui kerjasama dengan polis bagi menangani kegiatan haram berkenaan,” katanya. Datuk Dr Basri berkata, walaupun jumlah minyak sawit yang terbabit dalam kegiatan haram ini dianggarkan hanya satu peratus daripada jumlah pengeluaran Malaysia, namun ia menjadi punca kepada berlakunya pencemaran ke atas minyak sawit. “MPOB akan memastikan reputasi dan imej negara sebagai pengeksport minyak sawit berkualiti dan terbesar dunia tidak terjejas dengan kegiatan haram seperti ini.
“Kita akan pastikan bekalan minyak sawit yang dieksport kepada negara pembeli ke seluruh dunia seperti China, Amerika Syarikat, Pakistan, Eropah, India dan lain lain adalah minyak sawit berkualiti tinggi dan bebas dari sebarang pencemaran,” katanya. Beliau berkata, tahun lalu MPOB sudah mengambil tindakan mahkamah ke atas 46 kes membabitkan kegiatan ini dan dengan kekuatan 244 pegawai penguat kuasa MPOB seluruh negara, usaha menangani kegiatan ini akan dilipatgandakan.
“Pada masa ini MPOB sedang dalam proses menggubal bagi mewujudkan peraturan-peraturan baru yang sesuai bagi menangani masalah ini, antaranya peraturan melesenkan syarikat pengangkutan dan penggunaan peralatan GPS oleh lori tangki yang mengangkut minyak sawit.” “Dengan peraturan baru ini kita yakin aktiviti sedut curi minyak sawit dari lori tangki dapat dikawal dan tindakan yang dikenakan melalui peruntukan baru itu akan dapat menghindarkan dari kegiatan ini terus berlaku,” katanya.

This entry was posted on 4:56 PM . You can leave a response and follow any responses to this entry through the Subscribe to: Post Comments (Atom) .

0 comments

Post a Comment